28/08/2026
Pertama kali saya ke Lawas ialah pada 2016 waktu itu saya memandu ke Kota Kinabalu dari Sri Aman. Waktu itu Lawas hanyalah sekadar pekan koboi yang tak ada apa apa daya tarikan, selain Hotel Seri Malaysia yang tersergam. Jauh dari Kuching. Jauh dari pusat pembangunan.
Tetapi hari ini, cerita tentang Lawas sudah mula berubah.
Lawas sedang dipersiapkan untuk menjadi antara pusat pertumbuhan ekonomi baharu Sarawak.
Dan di sebalik perubahan ini, ada seorang pemimpin yang namanya cukup sinonim dengan pembangunan Lawas iaitu Datuk Patinggi Awang Tengah Ali Hasan.
Bagi saya, untuk menghargai jasa seorang pemimpin, kita jangan hanya melihat apa yang sudah siap.
Kita juga perlu melihat apa yang sedang dibina untuk generasi yang belum lahir.
Itulah yang membuatkan saya tertarik dengan apa yang sedang berlaku di Lawas.
Lawas mempunyai kedudukan yang sangat istimewa. Di satu sisi ada Brunei. Di satu sisi ada Sabah. Dan tidak jauh dari situ ialah Kalimantan Utara. Kalau kita fikir secara strategik, Lawas bukan sebenarnya berada di hujung.
Lawas berada di persimpangan.
Cuma selama ini, potensinya belum sepenuhnya diterjemahkan menjadi kekuatan ekonomi.
Sebab itu pembinaan jaringan jalan seperti Pan Borneo dan Sarawak-Sabah Link Road (SSLR) amat penting.
Jambatan baharu Lawas p**a bukan sekadar struktur konkrit yang merentangi sungai.
Ia adalah jambatan yang menghubungkan manusia, peluang, pekerjaan dan masa depan.
Apabila perjalanan menjadi lebih mudah, ekonomi juga bergerak lebih laju. Apa yang lebih menarik, perancangan Lawas bukan sekadar membina jalan.
Ada perancangan untuk lapangan terbang baharu. Ada usaha memperkukuh kemudahan pelabuhan dan logistik.
Ada perancangan pembangunan kawasan industri. Ada usaha menaik taraf kawasan seperti Trusan.
Maksudnya, Lawas sedang dilihat sebagai satu ekosistem ekonomi.
Jalan untuk bergerak. Lapangan terbang untuk terbang. Pelabuhan untuk berdagang.
Industri untuk menyediakan pekerjaan.
Dan pendidikan untuk menyediakan manusia yang mampu mengisi pekerjaan tersebut.
Di sinilah saya melihat satu perkara yang sangat penting. Pembangunan sebenar bukan apabila bangunan tinggi berdiri.
Pembangunan sebenar ialah apabila anak-anak tempatan mempunyai masa depan yang lebih cerah kerana bangunan itu dibina.
Kita selalu bercakap tentang projek bernilai jutaan dan bilion ringgit. Tetapi kadang-kadang kita terlupa... projek paling bernilai sebenarnya ialah modal insan.
CENTEXS Lawas telah melahirkan lebih 700 graduan dan sebahagian besar daripadanya berjaya mendapat pekerjaan. Bagi saya, angka itu bukan sekadar statistik. Bayangkan seorang anak muda Lawas.
Dulu mungkin dia terpaksa meninggalkan kampung untuk mencari kemahiran.
Hari ini, peluang pendidikan dan latihan semakin dekat dengan rumahnya. Kemudian dia mendapat pekerjaan dapat gaji boleh membantu ibu bapa serta membina keluarga.
Mungkin suatu hari nanti dia p**a membuka syarikat dan mengambil pekerja lain.
Begitulah sebuah pembangunan mengubah kehidupan manusia.Bukan dalam satu malam. Tetapi sedikit demi sedikit.
Lawas bukan hanya tentang industri besar.
Lawas juga mempunyai tanah.
Ada petani. Ada penternak. Ada usahawan kecil. Ada produk tempatan yang mungkin selama ini kita tidak pernah bayangkan mampu pergi jauh.
Keju tempatan di Meragang. Pertanian di Sundar. Penternakan. Agropelancongan. Perniagaan kecil. Semua ini boleh menjadi sebahagian daripada ekonomi baharu Lawas.
Sebab itu pembangunan yang baik bukan bermaksud meninggalkan kehidupan lama.
Sebaliknya...kehidupan lama diperkasakan dengan peluang baharu.
Mungkin ada orang melihat sebuah jambatan dan hanya nampak besi dan konkrit.
Seorang ibu p**a mungkin melihat jambatan itu sebagai jalan supaya anaknya lebih mudah ke sekolah.
Seorang peniaga melihatnya sebagai laluan untuk membawa barang ke pasaran.
Seorang petani melihatnya sebagai jalan untuk menghantar hasil pertanian.
Seorang anak muda melihatnya sebagai peluang untuk mendapatkan pekerjaan.
Dan seorang pelabur melihatnya sebagai pintu masuk ke sebuah kawasan baharu.
Satu projek. Tetapi seribu makna.
Itulah sebabnya saya melihat pembangunan Lawas dengan perspektif yang sedikit berbeza.
Saya bukan mahu menulis ini untuk memuji seorang pemimpin secara membuta tuli.
Tetapi sebagai seorang rakyat, kita juga jangan terlalu kedekut untuk memberikan penghargaan apabila kita melihat sesuatu yang sedang dibina untuk masa depan.
Datuk Patinggi Awang Tengah mungkin tidak dapat melihat semua hasil pembangunan ini dalam tempoh sehari dua.
Sebahagian projek mungkin hanya benar-benar memberikan kesan besar beberapa tahun lagi.
Tetapi itulah hakikat kerja seorang pemimpin.
Ada kerja yang kita lakukan untuk menikmati hasilnya hari ini.
Dan ada kerja yang kita lakukan kerana kita mahu anak cucu kita menikmati hasilnya esok.
Saya melihat pembangunan Lawas lebih dekat kepada yang kedua.
Mungkin pada tahun 2030 nanti, apabila kita melihat Lawas yang jauh lebih moden, lebih mudah dihubungi, mempunyai industri, pendidikan, pengangkutan dan ekonomi yang lebih rancak...
kita akan teringat bahawa semua itu tidak bermula pada tahun 2030.
Ia bermula bertahun-tahun sebelumnya.
Dengan visi.
Dengan perancangan.
Dengan kesungguhan.
Dan dengan keberanian untuk melihat sebuah daerah yang jauh lalu berkata:
“Lawas juga mempunyai masa depan yang besar.”
Sebagai orang Sarawak, saya rasa kita patut menghargai usaha seperti ini.
Kerana pembangunan bukan sekadar tentang berapa banyak projek yang kita bina.
Pembangunan adalah tentang berapa banyak kehidupan manusia yang kita ubah menjadi lebih baik.
Dan kalau Lawas benar-benar menjadi hab pertumbuhan ekonomi utara Sarawak menjelang 2030 nanti...
mungkin suatu hari nanti kita tidak lagi menyebut:
“Lawas itu jauh.”
Sebaliknya kita akan berkata:
“Lawas itu penting.”
Kerana di situlah salah satu pintu masa depan Sarawak sedang dibuka.
Cikgu Emmet Menulis