25/10/2026
27 BUAH SEKOLAH DI TEBEDU DITUTUP SEMENTARA SUSULAN JEREBU
KUCHING, 25 Oktober – Sebanyak 27 sekolah di daerah Tebedu akan ditutup sementara esok, susulan keadaan jerebu di kawasan berkenaan.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak dalam kenyataan media memaklumkan, penutupan itu melibatkan sebuah sekolah menengah dan 26 sekolah rendah di bawah seliaan jabatan berkenaan.
Bagaimanapun, sesi persekolahan secara bersemuka diteruskan bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dengan pematuhan pemakaian pelitup muka mengikut garis panduan yang ditetapkan.
Keputusan dibuat berdasarkan pemantauan berterusan serta bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) setakat pukul 2 petang, 25 Oktober, selain laporan Jabatan Meteorologi Malaysia.
Sehubungan dengan itu, sesi Pengajaran dan Pembelajaran
di Rumah (PdPR) akan dilaksanakan, manakala guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) dibenarkan bekerja dari rumah (BDR), sepanjang tempoh penutupan sementara sekolah.
JPN Sarawak turut memaklumkan, arahan penutupan berkenaan juga terpakai kepada semua sekolah rendah dan menengah di daerah yang merekodkan bacaan IPU melebihi 200 selepas kenyataan itu dikeluarkan.
Bagi sekolah berhampiran daerah yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 200, guru besar dan pengetua boleh mempertimbangkan pelaksanaan PdPR berdasarkan faktor kesihatan dan keselamatan murid.
Sekiranya bacaan IPU menunjukkan trend penurunan kepada bawah 200, pihak sekolah boleh membuat persediaan untuk dibuka semula.
Dalam pada itu, ibu bapa dan penjaga dibenarkan tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang terhadap kesihatan mereka akibat jerebu, dengan memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah.
JPN Sarawak turut menasihatkan semua institusi pendidikan supaya memantau bacaan IPU melalui portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar serta mematuhi saranan Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM bagi melindungi kesihatan murid dan warga sekolah.