16/12/2025
Hujan lebat dan suhu sejuk yang melanda Semenanjung Gaza telah memburukkan lagi keadaan hidup ratusan ribu rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal, ketika Israel terus menyekat penghantaran bekalan perlindungan seperti khemah dan barangan asas ke wilayah yang dikepung itu.
Kesan daripada serangan ketenteraan Israel selama dua tahun telah memusnahkan lebih 198,000 struktur di Gaza, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ramai penduduk kini tinggal di khemah sementara yang tidak mampu menahan cuaca ekstrem, menyebabkan banjir dan kebocoran yang menjejaskan keselamatan serta kesihatan mereka.
“Saya menangis sejak pagi,” kata seorang penduduk yang terpaksa membersihkan air bertakung di luar khemahnya selepas hujan pertama musim sejuk melanda Bandaraya Gaza pada Jumaat.
Agensi bantuan kemanusiaan telah memberi amaran selama beberapa minggu bahawa penduduk Gaza tidak mempunyai keperluan asas untuk menghadapi musim sejuk.
Ramai yang telah dipindahkan berulang kali akibat konflik, dan kini berdepan risiko tinggi penyakit, hipotermia dan kekurangan makanan.
Israel dilaporkan terus menyekat penghantaran khemah dan barangan perlindungan atas alasan keselamatan, walaupun rayuan antarabangsa semakin meningkat.
Jurucakap UNRWA, Adnan Abu Hasna, menyifatkan ribut yang mendatang sebagai berpotensi membawa “kesan bencana” kepada hampir dua juta penduduk yang tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat.
Jabatan Meteorologi Palestin turut mengeluarkan amaran banjir kilat di kawasan rendah dan lembah di Gaza dan Tebing Barat, dengan ramalan ribut petir dan angin kencang dalam beberapa hari akan datang.
Sumber : Berita Awani