21/10/2026
Ada masanya K.Ina rasa terkilan apabila sesuatu masalah yang masih belum selesai akhirnya memberi gambaran seolah-olah K.Ina gagal menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
K.Ina bukan wakil rakyat yang hanya datang ke Behrang apabila ada program atau urusan rasmi. K.Ina bermastautin di sini. Inilah tempat K.Ina tinggal dan menjalani kehidupan seharian.
Jalan yang rosak, kesesakan lalu lintas, masalah kemudahan awam dan pelbagai kekurangan yang dihadapi penduduk, K.Ina juga melalui keadaan yang sama. Bezanya, sebagai ADUN, K.Ina memikul tanggungjawab untuk membawa masalah tersebut kepada pihak yang mempunyai kuasa menyelesaikannya.
Ambil contoh isu persimpangan KMP yang sudah berkali-kali K.Ina bangkitkan dalam mesyuarat di peringkat daerah, malah turut dibawa dalam perbahasan Sidang DUN Perak.
Pelbagai usaha telah dibuat melalui perbincangan, permohonan dan tindakan susulan bersama pihak yang bertanggungjawab. Perancangan untuk menaik taraf persimpangan tersebut juga telah dibincangkan. Namun, apabila melibatkan jalan di bawah bidang kuasa Persekutuan, pelaksanaannya tertakluk kepada proses teknikal, kelulusan dan peruntukan yang ditetapkan.
Dalam tempoh menunggu penyelesaian, K.Ina turut memohon kerjasama pihak berkuasa untuk membantu aspek keselamatan dan kelancaran lalu lintas, khususnya pada waktu puncak.
K.Ina faham apabila rakyat bertanya, malah ada yang marah kerana terlalu lama menunggu. K.Ina sendiri menggunakan jalan yang sama dan melihat keadaan tersebut hampir setiap hari.
Cuma ada satu perkara yang K.Ina harap masyarakat dapat fahami.K.Ina tidak mahu menjadikan keterbatasan kuasa sebagai alasan. Sebab itulah perkara yang sama terus dibawa, terus ditanya dan terus dibuat susulan walaupun mengambil masa yang panjang.
Kalau rakyat penat menunggu, K.Ina juga penat melihat masalah yang sama berlarutan. Tetapi selagi belum ada penyelesaian, K.Ina akan terus membawa perkara tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab.