12/10/2026
PDRM IPD KAPIT DEKATI MASYARAKAT MELALUI PROGRAM GERAKAN MASSA MASYARAKAT DESA (GEMA@KKDW) ANJURAN KEMENTERIAN KEMAJUAN DESA DAN WILAYAH (KKDW) DENGAN KERJASAMA JABATAN KEMAJUAN MASYARAKAT (KEMAS)
KAPIT, 11 OKTOBER 2026 – Ibu Pejabat Polis Daerah Kapit melalui Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJKD), Amanita IPD Kapit dan Balai Polis Kapit telah menyertai Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) bersama agensi lain anjuran Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), bertempat di Rumah Naga, Nanga Merating, Sungai Bena, Kapit.
Tujuan utama pelaksanaan Program Gerakan Massa Masyarakat Desa (GEMA@KKDW) ini adalah sebagai wadah bagi pihak kementerian dan agensi yang berkaitan untuk turun padang mendekati serta menyantuni masyarakat di luar bandar. Selain daripada itu program ini juga dapat memperkasa ekosistem keusahawanan desa, pembangunan modal insan dan pendidikan, penyampaian dasar kerajaan, serta merapatkan hubungan kepimpinan dan rakyat.
Antara tetamu kehormat yang hadir ialah YB Dato’ Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri Kerja Raya Malaysia merangkap Ahli Parlimen P.215 Kapit, YB Tuan Wilson Nyabong anak Ijang, ADUN N.61 Pelagus dan Datuk Alvin Rungah Jimbun, Setiausaha Politik kepada Menteri Kerja Raya Malaysia.
BSJKD IPD Kapit turut menyampaikan ceramah berkaitan jenayah komersil bertajuk “Era Digital: Cabaran Komuniti Mengelak Daripada Menjadi Mangsa Scammer” bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai trend terkini jenayah komersil, modus operandi penipuan dalam talian serta langkah-langkah pencegahan jenayah serta memperkenalkan kemudahan seperti NSRC 997, aplikasi Whoscall, Portal Semak Mule dan e-buku JSJK bagi membantu masyarakat mengenal pasti serta mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan.
Pada masa yang sama, penglibatan anggota Amanita IPD Kapit melalui pameran yang diadakan turut menyokong usaha mendekati masyarakat setempat, memperkukuh hubungan polis dengan komuniti serta menyampaikan mesej kesedaran dan pencegahan jenayah. Usaha ini mencerminkan komitmen PDRM IPD Kapit dalam memperluas penyampaian maklumat keselamatan kepada masyarakat, termasuk komuniti di kawasan luar bandar.
Tidak ketinggalan dalam pada masa yang sama, pihak Balai Polis Kapit telah mengadakan Program “Talk To Us”. Melalui program ini, ia membuka ruang interaksi bersama masyarakat melalui penyampaian maklumat keselamatan, khidmat nasihat pencegahan jenayah dan pengenalan aplikasi VSP.
Program yang melibatkan seramai 137 orang peserta ini berlangsung dengan lancar dan mendapat maklum balas positif daripada masyarakat setempat.
Bersama kita membanteras jenayah dan menjadikan masyarakat lebih peka, selamat serta berwaspada terhadap ancaman scammer.
POLIS DAN MASYARAKAT BERPISAH TIADA